Sepintas Lalu: Pusat Pembelajaran Kg. Air Panas (PPKAP)

Pusat Pembelajaran Kg. Air Panas atau lebih dikenali sebagai PPKAP mula ditubuhkan pada sekitar tahun 2017 dengan kapasiti 10 orang murid sahaja. PPKAP; yang bermula dari kelas secara ‘outdoor’ dan kelas yang dijalankan dengan hanya satu sesi semakin mengorak langkah apabila bangunan kelas siap dibina dan telah dirasmikan oleh YBhg Dato’ Abd Rahim bin Abd Rahman pada 17 Mac 2018. Kapasiti kelas kini bertambah dan ruang kelas boleh memuatkan maksimum 15 – 20 orang murid untuk setiap sesi.

ppkap1 ppkap2 ppkap3

Sesuai dengan namanya - Pusat Pembelajaran Kg. Air Panas bersama – sama dengan inisiatif guru – guru, misi utamanya ialah untuk memberikan pengalaman pelajaran secara lebih holistik ataupun menyeluruh dan ianya tidak terhad kepada hanya silibus persekolahan sahaja.

Murid – murid turut diterapkan dengan kepentingan nilai – nilai murni dan juga kemahiran insaniah yang baik terutama adab kepada ilmu, adab terhadap orang tua dan menghargai setiap kelebihan dan kekurangan yang ada dalam diri masing – masing. Selain dari itu, bukan sahaja murid – murid, malahan para ibu bapa juga turut diterapkan dengan unsur disiplin dan menepati masa apabila mereka perlu akur dengan beberapa peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan.

Selain itu, PPKAP juga lebih memberi penekanan kepada kemahiran asas 3M iaitu – membaca, menulis dan mengira. Pusat pembelajaran ini kini mempunyai tiga orang guru yang mengajar subjek – Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Matematik. Masing – masing akan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

ppkap4 ppkap5 ppkap6

Sepanjang 5 tahun beroperasi, PPKAP telah berjaya melahirkan murid yang dahulunya tidak boleh membaca dan malu untuk berkomunikasi di khalayak ramai; kini mereka mampu untuk mengeja dan membaca disamping boleh berkomunikasi antara satu sama lain dengan lebih baik.

PPKAP; yang membawakan konsep ‘fun learning’ menjadi tempat yang disukai dan sentiasa diingati oleh muridnya, bahkan murid yang telahpun menginjak masuk ke sekolah menengah masih mahu kekal belajar di PPKAP.

Ini menjadi pemangkin semangat guru – guru dan pihak pengurusan di PPKAP untuk sentiasa memberikan yang terbaik dan terus berbakti kepada anak bangsa amnya, dan warga Kampung Air Panas khususnya.

ppkap7

Disediakan Oleh,
Siti Amirah binti Mohd Mustaffa
Penyelaras PPKAP